Powered By Blogger

Jumaat, 17 Disember 2010

PANTUN NASIHAT BUAT PENGANTIN-PENGANTIN BARU

Sekarang dah cuti sekolah jadi ramai la yang buat majlis kenduri kahwin. Kepada mereka-mereka yang sudah menjadi raja sehari, di bawah ini aku sediakan pantun buat kau orang semua.

Pengantin segak berbaju biru,
Atas pelamin asyik berangan,
Ku ucap SELAMAT PENGANTIN BARU,
Semoga bahagia kedua pasangan,

Pengantin lelaki berbaju jingga,
Nampak segak, tampan dan lawa,
Ku ucap SELAMAT BERUMAHTANGGA,
Semoga kekal ke hujung nyawa,

Kedua mempelai nampak berseri,
Sedondon pakaian si merah hati,
Kini kau sudah bergelar isteri,
Tugas yang berat sedang menanti,

Bawah khemah pengantin berteduh,
Siap berkeris juga bertanjak,
Kini kau sudah bertemu jodoh,
Rancanglah hidupmu hai dengan bijak,

Jemputlah tuan jamah makanan,
Silalah duduk janganlah malu,
Pada sang isteri ku tinggal pesanan,
Sayangilah suami taati selalu,

Pada si dia hati terpikat,
Ijab dan kabul buktinya cinta,
Hidup berdua mesti sepakat,
Elakkan dari segala sengketa,

Tak kira miskin dan juga kaya,
Ke rumah kenduri menjamu selera,
Hidup berdua saling percaya,
Tabah hadapi segala gelora,

Sungguh segak suami idaman,
Atas pelamin tersipu malu,
Supaya hidup berdua aman,
Bertolak ansur amalkan selalu,

Sanak saudara jauh dan dekat,
Ke rumah pengantin itu matlamat,
Supaya hidup mendapat berkat,
Sabar dan setia jadikan azimat,

Semoga majlis mendapat rahmat,
Doa dari para tetamu,
Supaya kasih bertambah nikmat,
Solat berdua jangan kau jemu,

Atas pelamin diam membisu,
Dua pengantin nampak sepadan,
Usah bertindak mengikut nafsu,
Kelak menyesal merananya badan,

Dari Penang ke Negeri Sembilan,
Tol sempadan banyak kau redah,
Hidup berdua seiring sejalan,
Saling membantu bawa faedah,

Nasi dalca dan sambal kuini,
Buat hidangan suami dan isteri,
Terimalah pantun dariku ini,
Buat pengantin raja sehari,

Layan tamu tak sempat berehat,
Datangnya dari jauh dan dekat,
Pantun ini sekadar nasihat,
Ikhlas dari si abang angkat,

1 ulasan: